Pandemik COVID-19 mengakibatkan kesan yang tidak pernah difikirkan sebelumnya terhadap pengoperasian aktiviti pendidikan.
Dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta penutupan sekolah, perubahan drastik terhadap kaedah pengajaran dan pembelajaran berlaku.
Melaluinya, teknologi terpaksa dimanfaatkan sepenuhnya, baik bagi tujuan pengurusan mahupun untuk pengajaran dan pembelajaran.
Penggunaan teknologi bagi tujuan pengurusan dilihat tidaklah menjadi isu besar, kerana ia sudah pun menjadi praktik sejak sekian lama. Sebahagian besar operasi pengurusan sekolah juga sudah pun dilaksanakan secara dalam talian.
Permasalahan ketara yang timbul ialah aspek pengajaran dan pembelajaran dalam situasi pergerakan yang terkawal. Di mana, satu-satunya penyelesaian yang ada ialah memanfaatkan sepenuhnya teknologi berkaitan, walaupun kesediaan pihak guru dan pelajar terhadap pendekatan ini sebenarnya pada tahap minimum.
Situasi ini sebenarnya menjadi faktor pendorong supaya inisiatif teknologi sebagai pengganti guru harus disegerakan. Saban hari hal ini menjadi perbincangan dan perbahasan dalam kalangan penggubal dasar dan ahli akademik, khususnya dalam merangka persediaan untuk pendekatan pendidikan masa hadapan.
Persoalannya, adakah teknologi benar-benar mampu untuk mengambil alih tugas dan peranan seorang guru?
Jika diteliti sejak berdekad, ratusan penyelidikan sudah pun dilaksanakan bagi mencadangkan pengaplikasian teknologi secara berkesan dalam pendidikan.
Namun, mengapa dapatan penyelidikan ini tidak berupaya menjadi praktik dalam sistem persekolahan? Guru dan pelajar didapati masih kekal selesa dengan proses pengajaran dan pembelajaran konvensional.
Proses pembelajaran secara konvensional sebenarnya meminimumkan operasi kognitif tidak berkaitan, iaitu pelajar hanya perlu duduk dan fokus terhadap penyampaian guru.
Sebaliknya, dengan penggunaan teknologi, bebanan kognitif pelajar akan meningkat melalui pencapahan operasi kognitif terhadap pengurusan pembelajaran dan juga pengurusan teknologi.
Hal ini akan menjadi kritikal sekiranya pelajar tidak mempunyai sebarang pengetahuan awal berkaitan topik dipelajari, apatah lagi sekiranya topik yang perlu dipelajari itu kompleks dan abstrak.
Perkara ini akan menjadi lebih rumit sekiranya wujud permasalahan teknikal berkaitan teknologi. Misalnya, internet tidak stabil atau perlahan, kapasiti atau keupayaan komputer rendah dan sebagainya.
Bebanan kognitif tinggi sebenarnya tidak baik untuk pembelajaran berkesan. Keupayaan kognitif setiap pelajar tidak sama, di mana ada yang aktif dan dinamik dan ada pula pasif dan statik.
Di sinilah pentingnya komponen empati guru terhadap pelajar memainkan peranan. Guru ada kemampuan mendalami dan mengenal pasti kelemahan serta kekuatan setiap pelajar. Seterusnya, guru ada keupayaan untuk mengolah dan menguruskan proses pengajaran bersesuaian dengan pelajar yang pelbagai ini.
Teknologi tidak mempunyai kepintaran dan keupayaan ini. Teknologi kecerdasan buatan (AI) yang ada juga masih belum mampu menandingi kemampuan seorang guru sebenar.
Walaupun ada teknologi untuk kelas bersemuka secara maya, tidak sama dengan bersemuka secara nyata. Komunikasi secara nyata mampu membina ikatan kuat antara guru dan pelajar.
Menurut kajian, 93 peratus daripada komunikasi adalah bukan verbal. Oleh itu, bersemuka secara nyata memungkinkan pelajar dan guru menginterpretasi reaksi atau bahasa badan dan ekspresi wajah untuk memahami tindak balas serta maklumat bukan verbal.
Pandemik melanda sememangnya menimbulkan kesedaran akan kepentingan teknologi dalam pendidikan. Namun, perkara ini tidak boleh dijadikan sandaran untuk mengalihkan secara maksimum peranan guru kepada teknologi selepas pandemik berakhir.
Di samping aspek kemudahan dan prasarana, kesediaan guru dan pelajar juga perlu ditangani secara bermakna sebelum pelaksanaan. Keupayaan kognitif pelajar dalam mengurus pembelajaran dengan teknologi juga perlu dilihat secara mendalam.
Sebaiknya, kebebasan diberikan kepada guru dalam menentukan bila dan bagaimana memanfaatkan teknologi dalam membantu proses pengajaran dan pembelajaran mereka. Aspek paksaan perlu menjadi pilihan terakhir kecuali ketika pandemik.
Prof Dr Ahmad Zamzuri Mohamad Ali
Profesor di Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)