Pengenalan


MTMU ditubuhkan pada 2001 dengan jumlah pelajar sebanyak 30 orang pelajar lelaki dan 10 pelajar perempuan.Nama asal sebelum ini digunakan sehingga April 2008 dan diubah kepada MTMU untuk tujuan pendaftaran dengan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor dengan no pendaftaran SPS/PRP/8/6/(SEM)-289. Kini madrasah ini mempunyai 320 orang pelajar yang terdiri daripada 90 orang pelajar tahfiz lelaki,90 orang pengajian islam lelaki,80 orang pelajar tahfiz perempuan dan 60 orang pelajar pengajian islam perempuan.

Para pelajar mengahafaz sehingga 30 juz Al-Quran dalam tempoh masa 2 hingga 4 tahun dan seterusnya mengambil syahadah iaitu bacaan Al-Quran 30 juz secara berterusan tanpa melihat mushaf dalam tempoh 1 hingga 3 hari.

Bahagian Pengajian Islam pula mempunyai 15 orang ustaz yang mengajar 5 kelas bahagian perempuan.Pengajian bahagian lelaki di madrasah ini hanya sehingga tahun ke-4 daripada keseluruhan 8 tahun pengajian.

Selepas pelajar menamatkan pengajian tahun ke-4 di madrasah ini,mereka akan menyambung pengajian tahun ke-5 di Mardasah Miftahul Ulum Sri Petaling sehingga tamat pengajian pada tahun ke-8.

Pengajian bahagian perempuan pula sehingga tahun ke-4 daripada keseluruhan 6 tahun pengajian.Pihak madrasah telah bersetuju untuk meneruskan tahun ke-5 yang akan di mulakan pada masa hadapan.

Terdapat lebih kurang 80 orang pelajar luar negara yang belajar dimadrasah ini daripada Kemboja, Vietnam, Thailand, Filipina, China, Indonesia, Singapura dan Pakistan.

Titik Permulaan Projek

Satu jawatankuasa pembangunan diwujudkan dan telah bertanggungjawab sepenuhnya dalam usaha untuk membangunkan Madrasah Tahfiz yang baru.

Persetujuan telah dicapai didalam satu mesyuarat untuk membina Kompleks Madrasah Tahfiz Miftahul Ulum yang dianggar menelan belanja kira-kira RM33 juta yang telah dimulakan pada tahun 2011.

Alhamdullilah, seorang hamba Allah telah mewakafkan tanah seluas lebih 10 ekar dan mewakafkan wang berjumlah RM20juta untuk memulakan projek pembangunan ini.

Langkah awal yang telah diambil dengan mengadakan satu taklimat berkenaan projek telah diadakan pada 17hb April,2010 dan telah dihadiri seramai lebih 1000 orang tetamu. Didalam taklimat tersebut para hadirin telah diberi penerangan bahawa tujuan pembinaan Kompleks Madrasah ini adalah untuk manafaat semua pihak. Ia juga membawa maksud  bahawa madrasah ini bukanlah milik perseorangan bahkan madrasah ini adalah milik kita bersama.Kita semua bertanggungjawab untuk menjaga, memajukan, memelihara dan mengawal selia madrasah ini.

Disamping itu,kami juga ingin membuka peluang kepada YB/Tan Sri/Puan Sri/Dato’/Datin/Tuan/Puan/Encik/Cik untuk sama mendapat manafaat daripada pembangunan baru madrasah ini yang berupa pahala dan ganjaran di akhirat hasil daripada bacaan Al-Quran dan amalan-amalan yang di lakukan oleh pelajar di madrasah ini.

Ini kerana madrasah ini boleh menampung kira-kira 1200 orang pelajar tahfiz Al-Quran. Setiap pelajar akan membaca sekurang-kurangnya 6 juz setiap hari.Ini bermakna setiap hari akan dibacakan sebanyak 7200 juz di madrasah ini bersamaan 240 kali khatam Al-Quran.Setiap bulan akan di bacakan 126,000 juz Al-Quran bersamaan 4200 kali khatam Al-Quran.Jumlah ini tidak termasuk amalan-amalan yang dilakukan oleh pelajar-pelajar Bahagian Pengajian Islam madrasah ini.